Akhir-akhir ini pelbagai masalah timbul dalam kalangan masyarakat di negara ini. Ianya muncul bagaikan cendawan tumbuh selepas hujan. Masalah yang berlaku adalah disebabkan beberapa faktor. Salah satu daripadanya ialah pengaruh daripada kebudayaan barat. Kebudayaan di sini bermaksud keseluruhan cara hidup yang merangkumi cara bertindak, berkelakuan dan berfikir serta segala hasil kegiatan yang berupa kebendaan atau kerohanian sesuatu masyarakat, tamadun dan kemajuan. Barat pula bermaksud negara-negara Eropah dan Amerika. Kesan daripada penerapan nilai-nilai budaya barat ke dalam negara ini mendatangkan pelbagai implikasi. Oleh itu, pihak berwajib haruslah berusaha membendung masalah ini.
Kesan daripada pengaruh budaya barat:
i) Dari segi pemakaian. Hari ini pelbagai gaya dan fesyen yang timbul dan tidak sesuai untuk digayakan oleh masyarakat yang mengamalkan budaya timur seperti di negara kita. Kemasukan fesyen-fesyen barat yang menyerupai artis barat dilihat banyak mempengaruhi masyarakat. Fesyen yang dipaparkan dalam majalah serta pertunjukkan fesyen yang menjolok mata dan mendedahkan aurat menarik minat penggemar fesyen. Mereka berpendapat fesyen dari barat sesuai dengan peralihan zaman dan fesyen ala ketimuran yang menutup aurat dikatakan ketinggalan zaman.
ii) Hiburan melampau dan budaya berhibur hedonism. Hedonism atau hiburan yang disajikan amat melalaikan. Program-program realiti seperti Malaysia Idol, Mentor, Akademi Fantasia dan sebagainya merupakan buah fikiran yang diambil daripada barat dimana mereka terlebih dahulu menyiarkan rancangan seperti tiu. Masyarakat yang gemarkan hiburan begitu teruja dengan rancangan yang melalaikan ini. Penyanyi-penyanyi antarabangsa dijemput mengadakan konsert tanpa peraturan yang ketat di mana para peminat bebas bercampur. Akibat daripada pergaulan bebas ketika menyaksikan konsert, maka timbullah masalah sosial selepas itu.
iii) dari segi pengaruh media dan teknologi. Seperti yang kita tahu barat sangat moden dari segi teknologi. Kemodenan yang dimiliki sedikit sebanyak menyerap masuk kedalam negara ini yang menyebabkan banyak masalah timbul salah satu daripadanya seperti jaringan sosial seperti Facebook dan Twitter. Masyarakat hari ini menghabiskan banyak masa di laman sosial ini. Banyak kes seperti perceraian, rogol, bunuh berlaku akibat daripada laman sosial ini. Hal-hal yang menyentuh sensitiviti agama dan politik juga banyak dipaparkan. Tidak salah untuk menggunakan kemudahan yang ada tetapi masyarakat haruslah peka dan ingat akan kesan buruk yang akan timbul.
Langkah mengatasi:
i) Peranan ibu bapa. peranan ibu bapa sangat penting untuk mengelakkan masalah ini dari terus berlaku. Ibu bapa perlulah mengawasi tingkah laku anak-anak dan pergaulan mereka. Ibu bapa perlu meluangkan lebih banyak masa dengan anak-anak dan selalu bertanyakan masalah, mengenali rakan-rakan mereka dan mengambil berat dari segi pemakaian. Ibu bapa perlu menegur anak-anak yang dilihat cenderung mengikuti budaya barat dengan menasihati mereka secara berhemah.
ii) Didikan agama yang secukupnya. Ilmu agama sangat penting di mana ia dapat menjadi benteng dalam diri untuk mengelakkan masalah sosial berlaku. Penanaman dan pengukuhan nilai-nilai Islam dalam jati diri umat Islam diharapkan dapat mengekang pengaruh budaya barat. Gerakan badan-badan dakwah perlu dipertingkatkan untuk menambahkan keimanan dalam diri. Jika hati individu itu bersih dari segala maksiat maka tidak timbullah masalah akibat dari budaya barat.
Kesimpulannya, bukan semua budaya barat itu buruk dam merosakkan. Ada kalanya ia memberikan input yang baik dan membantu kreativiti dan intelektual masyarakat. Maksudnya di sini pengaruh barat itu kadang kala mendatangkan kebaikan dan keburukan. Kita sebagai individulah yang bertanggungjawab sama ada menjadikannya baik ataupun buruk.
No comments:
Post a Comment