ISU-ISU KEMASYARAKATAN

Jenayah seksual:Kanak-kanak wajib dididik untuk elak menjadi mangsa.

           

            Dalam mendidik anak-anak,satu perkara yang ditekankan oleh ibu bapa ialah keselamatan diri. Lazimnya, ibu bapa akan berpesan agar anak-anak berhati-hati ketika melintas jalan agar tidak dilanggar oleh kereta. Pesanan seumpama ini untuk mengelakkan anak-anak tadi dari bahaya-bahaya fizikal.

            Bagaimana dengan bahaya”seksual”. Apakah pesanan yang kita berikan kepada anak-anak kita untuk mengelakkan mereka dari serangan seperti ini? Apakah kemahiran yang telah kita berikan kepada mereka untuk mengelakkan atau menghentikan serangan seksual? Memadailah dengan berpesan,”jangan bercakap dengan orang yang tidak dikenali.

            Dalam suasana semasa bila mana anak-anak dihantar ke pusat jagaan, dalam keadaan di mana anak-anak terdedah kepada kemungkinan bersendirian dengan orang asing dalam lif di kediaman yang bertingkat, mereka perlu diberi kemahiran untuk mengelakkan serangan seksual dan memaklumkan kepada kita sekiranya perkara itu berlaku kepada mereka.

            Keperluan ini semakin mendesak bila mana saban hari kita mendengar atau membaca kejadian-kejadian jenayah seperti sumbang mahram dan pencabulan terhadap kanak-kanak baik perempuan mahupun lelaki oleh orang yang dikenali dan hampir dengan mereka seperti bapa, abang, pengasuh, guru, pakcik di sebelah rumah dan sebagainya. Dalam suasana seperti ini, mendidik anak-anak dengan kemahiran untuk mengelakkan dan menghentikan serangan seksual menjadi satu kewajipan bagi ibu bapa.

            Pendidikan mengenai budaya dan cara menghentikannya memerlukan beberapa langkah tertentu. Pertama, ia perlu dimulakan dengan mengenalkan mereka tentang bahagian sulit tubuhnya dan hakikat bahawa bahagian tersebut merupakan sebahagian dari aurat dan hendaklah ditutup dari pandangan umum. Sebagaiman dia tidak boleh mempertontonkan bahagian sulitnya itu kepada umum, dia juga tidak boleh melihat bahagian alat sulit orang lain.

            Seterusnya, anak-anak perlu dimaklumkan tentang jenis sentuhan yang “dibolehkan” dan sentuhan yang tidak diterima. Sentuhan untuk membersihkan pastinya berbeza dari belaian yang tidak diperlukan.

            Selain itu, anak-anak perlu dididik untuk membantah atau menghentikan sentuhan yang membuatkan tidak selesa, walaupun sentuhan itu bukan pada alat sulitnya. Contohnya, ketika berada di li,pipi mereka dibelai oleh seorang lelaki dewasa yang tidak dikenali. Mereka perlu diperkasakan untuk berkata,”Hentikannya,saya tidak suka awak buat begitu”. Dengan cara ini, anak-anak akan mampu menghentikan bunga-bunga perbuatan cabul pada ketika dan saat ianya berlaku.

            Anak-anak perlu dipesan untuk memaklumkan kepada orang dewasa yang dipercayainya,biasanya ibu tentang sentuhan-sentuhan yang telah menimbulkan ketidakselesaan pada dirinya agar tindakan dapat diambil untuk menghentikan perbuatan-perbuatan tersebut.

            Orang dewasa yang menerima aduan tentang perlakuan cabul dan sumbang itu wajib memastikan kejadian yang sama tidak berulang. Ini penting supaya kepercayaan anak tadi terhadap kita sebagai orang yang boleh melindungi mereka tidak terjejas.

            Ada kanak-kanak malang yang menjadi mangsa kerana mereka tidak tahu bahawa apa yang telah diperlakukan keatas mereka merupakan satu pencerobohan seksual. Mereka tidak tahu kerana mereka tidak pernah diajar mengenainya. Mereka anggap sentuhan-sentuhan tersebut adalah sentuhan yang boleh diterima sebagai tanda sayang ayah atau abangnya. Ada juga di antara mereka yang digula-gulakan dengan wang atau hadiah-hadiah tertentu untuk menutup mulut. Lebih malanh lagi, ada di antara mereka yang mengadu kepada ibu,malah ibu menganggap mereka menipu. Kadangkala, ada ibu yang percaya namun enggan berbuat apa-apa kerana takutkan suami atau bimbangkan masa depan jika suami ditangkap atau malu akan mengaibkan keluarga sendiri.

            Sebagaimana kita mahu mengelakkan anak-anak kita dari bahaya fizikal, kita juga sepatutnya mahu mengelakkan mereka dari bahaya seksual. Untuk itu, kita perlu mendedahkan kepada mereka tentang apa itu pencerobohan seksual dan bagaiamana untuk melindungi diri daripadanya. Dengan kemahiran tersebut, kita akan lebih yakin tentang keselamatan mereka. Di masa yang sama, menjadi tanggungjawab kita untuk mempercayai mereka bila mereka melaporkan sesuatu kejadian pencerobohan seksual. Ambillah tindakan yang wajar walaupun terhadap mereka  yang hampir dengan diri kita kerana islam menuntut agar kita berlaku adil walaupun ia bermaksud melaporkan perbuatan salah yang dilakukan oleh kaum kerabat kita sendiri.

            Dalam islam, anak-anak adalah amanah Allah yang perlu dipelihara sebaik-baiknya. Jika tidak ibu bapa yang akn dipertangungjawabkan di akhirat kelak. Ini jelas dalam Sabda Rasullah s.a.w. yang bermaksud,”Sesunguhnya Allah akan bertanya setiap penangangjawab akan tangungjawab, apakah dia telah memeliharanya ataupun mensia-siakan”. Memberi kemahiran kepada anak-anak untuk mengelakkan diri serangan seksual adalah salah satu unsur penting   dalam pemeliharaan amanah ini.  Semoga kita tidak tergulung dengan mereka yang telah mempersia-siakan amanah Allah tersebut.

No comments:

Post a Comment